Tiga belas maut banjir kilat di selatan Filipina
Pasukan bomba menyelamat mangsa banjir kilat di wilayah Maguindanao di selatan Filipina. Gambar kredit ParangCentral Firestation
MANILA— Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban pada Jumaat dan ramai lagi hilang selepas hujan lebat semalaman membanjiri beberapa bandar di wilayah Maguindanao di selatan Filipina, lapor Xinhua, memetik seorang pegawai tempatan.
Memetik laporan awal, ketua pejabat pengurangan risiko dan pengurusan bencana wilayah Maguindanao Nasrullah Imam berkata 13 mati akibat lemas atau tanah runtuh dan pejabat berkenaan masih menilai keadaan, lapor Bernama.
Maguindanao ialah wilayah yang terletak di Wilayah Autonomi Bangsamoro Islam Mindanao.
Media tempatan melaporkan hujan lebat itu ada kaitan dengan ribut tropika Nalgae yang dijangka melanda Ahad ini di pulau utama Luzon.
Menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina, Nalgae dijangka menjadi ribut tropika yang teruk pada Jumaat dan bertukar kepada taufan menjelang Sabtu.
Filipina adalah antara negara paling terdedah kepada bencana berrikutan lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan lingkaran taufan Pasifik. Pada puratanya, negara kepulauan itu dilanda 20 taufan setiap tahun dengan beberapa daripadanya teruk dan merosakkan.
-- BERNAMA