Seluar jean Levi dari 1880-an dilelong pada harga lebih RM410,000

Seluar jean Levi dari 1880 yang dijual di Durango Vintage Festivus. Gambar kredit goldenstatevtg/Instagram


WASHINGTON— Sepasang seluar jeans Levi dari 1880-an yang ditemui di dalam lombong terbiar dilelong pada harga US$87,400.


Seluar jeans itu dijumpai di sebuah lombong terbiar di barat Amerika oleh ahli arkeologi denim Michael Harris dan dijual di Durango Vintage Festivus iaitu sambutan denim empat hari di pinggir Aztec, lapor United Press International (UPI).


Jeans itu mempunyai butang buckleback dan dibeli oleh Kyle Hautner dan Zip Stevenson. 


Hautner membayar 90 peratus daripada harga itu, manakala Stevenson menyumbang baki 10 peratus.


Stevenson yang memiliki dan mengendalikan kedai pembaikan Denim Doctors di Los Angeles berkata seluar itu adalah penemuan yang jarang berlaku.


"Seluar jeans ini sangat jarang dijumpai -- terutamanya saiz dan keadaannya masih elok," UPI memetik katanya kepada CNN.


Stevenson berkata Harris telah meneliti sekurang-kurangnya 50 lombong terbiar selama lima tahun lalu dan tidak menemui sesuatu yang mempunyai kualiti sama.


Beberapa jeans Levi dari tahun yang sama diketahui masih wujud, tetapi kebanyakkan dipamerkan di muzium dan dianggap tidak lagi boleh dipakai. 


Beliau berkata seluar yang dilelong itu sebaliknya, boleh dipakai dengan melakukan sedikit pembaikan kecil.


Seluar jeans itu kini disimpan di dalam peti deposit keselamatan berhampiran Denim Doctors dan boleh dilihat melalui temujanji. 


Pemiliknya berharap dapat menjual seluar itu ke muzium untuk paparan umum.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post