Sarawak teroka ekonomi baharu sepadan dengan kemahiran, pendidikan rakyat


SIBU-- Sarawak perlu meneroka ekonomi baharu agar sepadan dengan kemahiran dan pendidikan yang dimiliki rakyatnya pada masa kini.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata selain memastikan anak-anak Sarawak yang mempunyai kepakaran tidak berhijrah ke tempat lain mencari pekerjaan, langkah ini diharapkan dapat menjana pendapatan selari dengan usaha menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030.


“Sebab itu kita berikan latihan melalui pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang berteraskan kepada sains yang ada hubung kait dengan sumber kita. Insya-Allah negeri Sarawak akan jadi negeri berpendapatan tinggi untuk anak-anak kita.


“Saya rasa inilah impian kita bersama. Apabila kita sudah meningkat ke tahap sedemikian maka kita adalah pemain global. Kita bukan lagi jaguh kampung tapi jaguh dunia,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Pengurusan Pendidikan Sekolah Menengah Sarawak Kali Ke-57 di sini hari ini.


Abang Johari berkata dasar Sarawak dalam pendidikan bukan semata-mata kerana ingin menjadi jaguh, tetapi ingin menyesuaikan pendidikan itu dengan kehendak pembangunan ekonomi dunia.


Menurutnya pemberian dana bagi Program DLP oleh kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, adalah kerana ia mahu rakyat fasih dalam Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan selain mengiktiraf penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia dapat membantu perkembangan teknologi di negeri ini.


Katanya pengambilalihan lima universiti swasta oleh Yayasan Sarawak pula bertujuan memberi peluang kepada anak-anak Sarawak yang gagal mendapat tempat di universiti awam Malaysia menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) untuk melanjutkan pelajaran.


“Sebab itu kita ada universiti kita sendiri dan kita tidak terkait dengan UPU, dan kita dapat hantar anak kita belajar jurusan yang mereka kehendaki. Ini dapat beri peluang kepada anak kita,” tambahnya.


Lima universiti itu terdiri daripada Swinburne University di Kuching, Curtin University di Miri, University Of Technology Sarawak (UTS) di Sibu selain Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) serta Kolej Universiti i-CATS.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post