SAF 2022 bertemakan 'Legasi' diadakan 24 hingga 29 Oktober ini
KUCHING--Pustaka Negeri Sarawak akan mengadakan Sarawak Authors Festival (SAF) atau Festival Penulis-Penulis Sarawak bersesuaian dengan peranan Pustaka Negeri Sarawak sebagai Pusat Penyerahan Bahan Terbitan (Legal Deposit) berdasarkan Sarawak State Library Ordinance, 1999.
Ketua Bahagian Sarawakiana, Izaruddin Moss berkata, objektif utama program itu diadakan adalah untuk menggalakkan kreativiti penulisan di kalangan penulis tempatan dalam memelihara khazanah penulisan di Sarawak.
Menurutnya, sebagai kesinambungan kepada program Sarawak Authors Festival yang telah diadakan pada tahun 2017, 2018 dan 2020, Pustaka Negeri Sarawak sekali lagi akan menganjurkan Program SAF2022 untuk kali yang keempat iaitu pada 24 hingga 29 Oktober ini dengan bertemakan 'Legasi' atau 'Legacy'.
"Tema tersebut dipilih bagi memberi fokus kepada warisan, peninggalan atau kesan penulisan sama ada daripada penulis terdahulu sehingga sekarang dan seterusnya pada masa akan datang.
"Program SAF2022 pada tahun ini akan diadakan secara serentak di ketiga-tiga kampus Pustaka Negeri Sarawak iaitu di Kuching, Sibu dan Miri dan akan menyajikan pelbagai program serta aktiviti-aktiviti menarik yang akan diadakan menerusi norma baharu sesuai dengan keadaan semasa negara yang telah beralih ke fasa endamik Covid-19 yang telah diisytiharkan oleh kerajaan bermula 1 April 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, program dan aktiviti akan diadakan secara hybrid sama ada fizikal dan atas talian khusus oleh golongan penulis dan penerbit tempatan melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam penghasilan hasil karya mereka dan seterusnya diketengahkan kepada umum.
"Program-program yang diatur adalah dalam bentuk bengkel, ceramah, forum, seminar, perkongsian ilmu, Book Talk, Sarawak Authors Highlight, tarian, persembahan lagu-lagu tempatan daripada kumpulan buskers Sarawak, pameran, penjualan buku dan sebagainya.
"Acara kemuncak adalah Program Hari Sihat SAF2022 yang bakal dikendalikan oleh DJ Fir Affandi dan DJ Elya (Penyampai terkenal Radio Era Sarawak)," ujarnya.
Menurutnya lagi,peserta akan berpeluang mengikuti perkongsian kesihatan seperti Tips Sihat: Makanan Sihat Minda Cerdas oleh Normah Medical Specialist Centre, Demo Makanan Sihat oleh Kuching Skills College dan Aktiviti Kecergasan: Aeromixthon yang akan dikendalikan oleh Fit Aerobics and Dance Academy.
Penampilan khas yang pasti menjadi daya tarikan pada hari tersebut adalah persembahan dan celoteh daripada penghibur tempatan Winnie Albert.
Selain itu, bagi meraikan penulis dan penerbit Sarawak, Majlis Makan Malam (Sarawak Authors Gala Night) juga akan turut diadakan di Hotel Pullman, Kuching.
Pelancaran Sarawak Authors Festival pada kali ini akan disempurnakan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak,Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, yang mewakili Premier Sarawak.
Pada malam tersebut tetamu yang hadir akan dapat menyaksikan penyampaian dua anugerah utama bersempena SAF2022 iaitu Anugerah Penghargaan kepada Penulis dan Penerbit yang telah banyak menyerahkan karya penulisan mereka melalui Legal Deposit, Sarawak State Library Ordinance, 1999, dan Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak 2022.
Selain itu, Acara Pelancaran Buku (Book Launching) juga akan turut diadakan untuk mengetengahkan penerbitan buku-buku baharu terbitan penulis tempatan.