Remaja lelaki maut tertusuk pisau dibaling kakak
JOHOR BAHRU-- Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya akibat pergaduhan dalam insiden di Ulu Pulai, Ulu Choh dekat Iskandar Puteri petang tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu, yang turut melibatkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, pada 2.15 petang.
Beliau berkata berebut tempat duduk di dalam kereta dipercayai menjadi punca pergaduhan dua beradik itu.
“Ibu mereka mengatakan pada awalnya, mangsa bergaduh dengan kakaknya disebabkan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah dan kakak mangsa mengaku telah membaling pisau ke arah mangsa setelah diejek ketika masuk ke dalam rumah,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Rahmat berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah esok.
Katanya remaja perempuan itu telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA