Radzi arah KSU buat laporan SPRM berkait isu penyelewengan
Dr Radzi Jidin |
KUALA LUMPUR— Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Yusran Shah Mohd Yusof diarah membuat laporan segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan berlaku penyelewengan di kementerian itu.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook malam ini berkata arahan itu dibuat, berikutan hantaran video dibuat individu dikenali Zaharin Yassin, yang mendakwa menerima aduan penyelewengan berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.
“Memandangkan nama saya dan Ketua Setiausaha KPM turut disentuh, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPM untuk membuat laporan segera kepada SPRM, supaya siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya juga berharap saudara Zaharin dapat menyampaikan maklumat yang diterima beliau kepada SPRM,” menurut hantaran itu.
Radzi turut memuat naik video berdurasi 2.45 minit oleh Zaharin berkaitan dakwaan tersebut di hantaran sama.
-- BERNAMA