PRU15: UPKO tanding 5 kerusi di Sabah
Presiden UPKO Wilfred Madius (tengah) semasa sidang media di sini hari ini. Gambar Facebook |
PENAMPANG-- Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH), akan bertanding di lima kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15, kata Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Madius mengumumkan akan mempertahankan Parlimen Tuaran yang disandangnya selama empat penggal, manakala Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian akan bertanding di Parlimen Penampang, lapor Bernama.
Timbalan Ketua Penerangan UPKO Rowindy Lawrence akan bertanding di kerusi Parlimen Kimanis; Ketua Pemuda UPKO Felix Joseph Saang di Beluran dan Timbalan Setiausaha Agung UPKO Dr Peter Jr Naintin di Libaran.
"Perbincangan (calon dan pembahagian kerusi) ini melalui proses yang panjang, akhirnya setelah ambil kira semua aspek, ini keputusan dicapai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UPKO di sini hari ini.
Tentang cabaran mempertahankan Parlimen Tuaran, Madius berkata atas prinsip demokrasi beliau bersedia bertanding dengan sesiapa sahaja di kawasan itu susulan spekulasi Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili akan beralih kerusi Parlimen dari Kota Marudu ke Tuaran.