PRU15: Hantar PBK ke Parlimen untuk kembalikan hak Sarawak- Voon
KUCHING-- Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah landasan yang tepat untuk Sarawak memilih wakil rakyat daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) bagi mengembalikan hak negeri ini yang telah terhakis kembali kepada asal.
Presiden PBK Voon Lee Shan berkata, meskipun kerajaan Sarawak yang ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) memaklumkan telah membawa banyak pembangunan di negeri ini tetapi ia tidak memberi kesan kepada kehidupan rakyatnya.
"Semasa saya melawat di Pasar Stutong dan Kota Sentosa pagi tadi (semalam), masih ramai yang mengeluh tentang kesukaran hidup berikutan kos sara hidup yang kian meningkat.
"Kerajaan negeri sering memuji diri sendiri tentang banyak pembangunan di Sarawak tetapi kesannya tidak dapat dirasai oleh rakyat Sarawak," katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, keadaan ini terjadi kerana apa yang diusahakan belum memadai.
"Kita di Sarawak masih mendapat bajet pembangunan yang paling rendah. Ia satu penghinaan," ujarnya.
Tambah Voon, tiada parti lain yang benar-benar akan memperjuangkan Sarawak.
"Oleh itu, sudah tiba masanya untuk menghantar PBK ke Parlimen untuk berjuang memulihkan hak Sarawak," katanya.