PRU15: GPS yakin pengundi muda bijak buat pilihan

Abdul Karim semasa menghadiri program Deka Fit Sarawak 2022 di sini, hari ini. Gambar kredit Jiwa Bakti

KUCHING—Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin pengundi muda Sarawak terutamanya yang berusia 18 hingga 20 tahun, serta yang pertama kali mengundi akan bijak membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata golongan muda, boleh membuat penilaian berdasarkan senario politik semasa serta mampu memilih calon yang selayaknya diundi, lapor Bernama.


“Walaupun baru pertama kali mengundi mereka adalah golongan terpelajar, mereka akan dapat melihatnya sendiri sama ada parti itu atau parti ini, calon ini atau calon itu, yang patut mereka pilih.


“Jangan memandang rendah golongan belia, saya amat yakin belia di Sarawak akan bersama kami (GPS),” katanya kepada pemberita selepas sidang media Deka Fit Sarawak 2022 di sini, hari ini.


Berdasarkan statistik Daftar Pemilih terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 129,034 pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun di Sarawak, layak untuk mengundi pada PRU15.


GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Next Post Previous Post