Perkeso laksana pelarasan kos sara hidup mulai Januari
Saravanan berkata inisiatif itu dijangka memanfaatkan lebih 400,000 penerima faedah sedia ada. |
PUTRAJAYA—Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melaksanakan pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala sedia ada dan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan Perkeso berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pelaksanaan inisiatif itu adalah lanjutan daripada Kajian Penilaian Aktuari ke-11 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan mengambil kira keadaan sosial dan ekonomi semasa di Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19, peningkatan kos sara hidup dan kenaikan kadar inflasi.
"Pelarasan bayaran faedah berkala Perkeso dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 penerima faedah sedia ada yang akan melibatkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM213 juta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, faedah-faedah Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang dibayar secara berkala merangkumi Pencen Ilat dan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan serta Faedah Hilang Upaya Kekal dan Faedah Orang Tanggungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
Saravanan berkata sehingga kini pelarasan kos sara hidup bagi bayaran faedah berkala Perkeso telah dibuat sebanyak 10 kali di bawah Skim Keilatan sejak 1982 dan 12 kali di bawah Skim Bencana Pekerjaan sejak 1977.
Beliau berkata kadar pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala Perkeso ini adalah antara 0.7 hingga 9.4 peratus mengikut tahun pencen diterima.
Sementara itu, Saravanan berkata pelaksanaan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan, Akta 4 akan ditingkatkan daripada kadar pencen minimum sedia ada iaitu sebanyak RM475 sebulan kepada RM550 sebulan.
"Peningkatan kadar pencen mininum ini dijangka akan memanfaatkan kira-kira 56,000 isi rumah di negara ini dalam membantu menangani kenaikan kos sara hidup menerusi peruntukan kewangan sebanyak RM21 juta," katanya.
Saravanan berkata inisiatif tersebut yang diambil kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso diharap dapat meringankan beban kewangan Keluarga Malaysia dalam pascapandemik COVID-19.
-- BERNAMA