Penunggang motosikal maut kemalangan babit 3 kenderaan


KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 32 Jalan Kota Samarahan-Asajaya di sini, malam tadi.


Dalam kejadian jam 11.40 malam itu, mangsa yang maut dikenali Billy ak Bayon, 45, beralamat di rumah Edwin Mario Tambak, Engkelili, penunggang motosikal.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, kemalangan berlaku ketika motosikal Honda RS ditunggang mangsa bergerak  dari arah Lubok Punggor, Simunjan hendak menuju ke arah Kota Samarahan. 


"Motosikal itu mengekori kereta Proton Saga yang dipandu seorang wanita berusia 51 tahun.


"Ketika cuba memotong kereta Proton Saga, penunggang motosikal hilang kawalan lalu berlanggar dengan kereta Perodua Bezza yang bergerak lurus dari arah Kota Samarahan menuju ke Lubok Punggor iaitu darah bertentangan," katanya dalam kenyataan hari ini.



Menjelas lanjut, katanya, selepas berlanggar dengan kereta Perodua Bezza yang dipandu wanita berusia 29 tahun, penunggang motosikal tercampak ke sebelah kiri.


"Kereta Proton Saga yang tidak dapat mengelak kejadian itu telah melanggar penunggang motosikal terbabit.


"Kejadian itu menyebabkan motosikal rosak teruk, kereta Perodua Bezza rosak bahagian hadapan sebelah kanan manakala kereta Proton Saga rosak bahagian sisi kanan," katanya.


Beliau berkata, penunggang motosikal yang cedera di bahagian kepala dan anggota badan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak(HUS).


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Next Post Previous Post