Pengambilan tanah tidak dapat dielak bagi projek pembangunan, kata Nanta

Nanta bersama penerima Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Pembinaan Kolej Profesional MARA Kapit di sini hari ini.

KAPIT—Pengambilan tanah oleh kerajaan tidak dapat dielakkan dalam perlaksanaan projek pembangunan untuk kepentingan awam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Beliau berkata setiap pengambilan tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan tidak dilakukan secara percuma sebaliknya diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.



“Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa,” katanya.


Berucap di Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Pembinaan Kolej Profesional MARA Kapit di sini hari ini, beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Kapit berkata adalah tidak tepat sekiranya ada pihak yang menuduh kerajaan bersifat zalim kepada pemilik tanah.


Seramai 18 pemilik tanah menerima cek pampasan tanah yang keseluruhan berjumlah RM 931,549.30 di majlis tersebut.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post