Penduduk Kunak rasai gegaran gempa bumi lemah

Gegaran beberapa saat itu berlaku sekitar 11.10 malam tadi.

KUNAK—Penduduk di beberapa kawasan di sini dikejutkan dengan gegaran akibat gempa bumi lemah berukuran 3.2 pada skala Richter yang dikesan berlaku kira-kira 13 kilometer barat daya dari daerah ini pada lewat malam tadi.


Penduduk Kampung Bagiang Asmah Ali, 30, berkata gegaran pada 11.10 malam itu berlaku dalam beberapa saat sahaja tetapi mendebarkan.


"Ketika itu, saya mahu tidur tiba-tiba rasa gegaran, rumah rasa bergegar, dengar bunyi atap, dan lepas itu saya terus buka web Jabatan Meteorologi untuk memastikan betul atau tidak ada gegaran atau perasaan saya sahaja, tetapi (web) ketika itu belum ada kemas kini lagi.


"Saya tanya kakak masa tu, dia pun merasai perkara sama, tetapi mak pula tidak rasa (gegaran) sebab ketika kejadian itu dia sudah tidur," katanya yang bekerja sebagai peniaga kepada Bernama.


Bagi penduduk Kampung Getah, Idris Syamsudin, 44, pula beliau terjaga daripada tidur selepas rumahnya tiba-tiba bergegar kuat selama beberapa saat.


"Saya sudah tidur, bila rasa gegaran tu, terus terbangun," kata kontraktor itu.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kunak Mohamad Omarbatha berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kejadian gempa bumi lemah itu.


Meskipun begitu, beliau berkata pihak bomba sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan menjalankan rondaan pagi ini di kawasan pekan serta sasaran utama seperti di kawasan bangunan tinggi.


"Gegaran semalam turut dirasai di kawasan balai bomba," katanya.


Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pusat gempa itu berlaku di koordinat 4.6 darjah utara dan 118.2 darjah timur dengan jarak 13 kilometer barat daya dari Kunak, pada 11.10 malam.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post