Pemandu rentung kereta terbakar, identiti belum dikenal pasti
KABONG--Seorang pemandu rentung dalam kebakaran kereta di Jalan Nyabor di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 11.01 malam dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi didapati sebuah kereta jenis KIA Sorento telah terbakar 100 peratus.
"Pasukan pemadam menggunakan satu aliran salur bantu mula dan foam bagi memadam kebakaran tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya,kebakaran dapat dikawal pada jam11.42 malam.
"Setakat ini identiti mangsa belum dapat dipastikan lagi.
"Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 11.50 malam," ujarnya.
Katanya, pasukan Bomba menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, setelah mendapati keadaan terkawal anggota seterusnya bertolak balik ke balai.