Pelajar Malaysia rangkul pingat emas pertandingan inovasi di Jerman
SMK Agama Selangor meraih pingat emas dan Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg. Gambar FB |
KUALA LUMPUR— Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Kuala Selangor mengharumkan nama Malaysia apabila menewaskan 490 pasukan dari 250 sekolah di seluruh dunia di Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022 di Nuremberg, Jerman semalam.
Mereka meraih pingat emas dan Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Okt lepas, lapor Bernama.
Empat pelajar terbabit ialah Athirah Ahmad Hisshamuddin, 17, serta Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi, masing-masing berusia 16 tahun.
Berbekalkan bimbingan guru berpengalaman Mohd Ridzuan Mohammad dan Mohd Zulhelmi Mansor, pelajar terbabit mengulangi kejayaan senior mereka yang turut memenangi pingat emas serta anugerah produk inovasi terbaik pada 2019 di pertandingan sama.
Mohd Zulhelmi ketika dihubungi Bernama berkata pelajar terbabit mempertandingkan produk inovasi Set Pembelajaran (ECS) Eksplorasi Cabaran Sejarah Dunia yang direka khas untuk menarik minat semua golongan khususnya remaja menguasai pengetahuan am berkaitan sejarah ketamadunan dunia.
Beliau berkata idea itu tercetus melalui permainan Monopoli yang kemudian diterjemah kepada ECS memandangkan sejarah tamadun dunia mempunyai tempat warisan menarik untuk dipaparkan di atas papan permainan.
"Maka konsep bergambar dan rakaman peristiwa menarik ditonjolkan di atas papan permainan tersebut. Ini membolehkan interaksi dua hala dan menggalakkan perbincangan antara para pelajar yang bermain papan permainan ECS itu," katanya.
Mohd Zulhelmi juga berkata produk itu diharap dapat diterbitkan dan dijadikan pertandingan koakademik antara sekolah selain mampu dimiliki oleh setiap keluarga di negara ini untuk dijadikan aktiviti santai bagi mengisi masa lapang sekali gus melahirkan generasi warganegara global.
IENA adalah pameran inovasi tertua di dunia yang dipertanding sejak lebih 70 tahun lepas bersempena pameran perdagangan yang mengetengahkan pelbagai ciptaan dan inovasi baharu terbesar di dunia.