Mangsa kebakaran Kampung Masjid terima sumbangan
Sekitar penyampaian bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Masjid, Jalan Datuk Ajibah Abol malam tadi. |
KUCHING — Nasib mangsa kebakaran di Kampung Masjid, Jalan Datuk Ajibah Abol Ahad lalu mendapat perhatian wakil rakyat di sini.
Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya menyalurkan bantuan kewangan dan pakaian manakala Pusat Khidmat DUN Satok bantuan makanan bagi mengurangkan beban.
Sumbangan itu disampaikan mantan Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof dalam satu majlis malam tadi.
Penerima terdiri daripada keluarga pemilik rumah iaitu Zarkiah Mataim, 46; Hajijah Abang Mataim, 60; Aliman Abang Mataim, 61; Abdul Rahman Abang Mataim, 62;Taib Mataim, 56 dan dua penyewa iaitu Yusof Drap, 62 dan Shamsuddin Bueng, 53.
Sementara itu, seramai 11 penghuni hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka terbakar Ahad lalu.
Kejadian itu turut disaksikan oleh Fadillah yang ketika itu menghadiri Program Maulidur Rasul 1444H / 2022M kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, beliau bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Beliau berterima kasih anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Padungan dan Batu Lintang yang cepat sampai di lokasi kejadian mengawal kebakaran dari merebak ke rumah-rumah jiran berdekatan.
"Terima kasih juga dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan penduduk kampung yang turut membantu dalam musibah ini," ujarnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.13 pagi.
"Seramai 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dengan bantuan lapan anggota BBP Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sampai di lokasi didapati sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar 90 peratus.
"Rumah tersebut didiami tujuh lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.
"Ketika kejadian dilaporkan semua penghuni tiada di rumah," ujarnya.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.
"Api berjaya dikawal pada jam 9.28 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 9.55 pagi," jelasnya.