LPNM rancang perkenal kaedah Night Farming, tingkat pengeluaran nanas

Kaedah Night Farming dapat meningkatkan pengeluaran daripada 400,000 kepada 700,000 tan metrik setahun menjelang 2025. Gambar hiasan

BANGI— Lembaga Perindustrian Nanas (LPNM) merancang memperkenal kaedah penanaman nanas pada waktu malam atau Night Farming bermula tahun depan bagi mempertingkat sasaran pengeluaran daripada 400,000 kepada 700,000 tan metrik setahun menjelang 2025.


Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh berkata kaedah itu telah terbukti dapat meningkatkan pengeluaran nanas berdasarkan kajian awal yang dijalankan ke atas beberapa pekebun kecil. 


Beliau berkata kebiasaannya, hasil tanaman itu dapat diperoleh selepas 14 bulan namun menerusi kaedah Night Farming, buah nanas sudah boleh diambil dalam tempoh 11 bulan sahaja. 


"Kita sedang berusaha untuk merealisasikan inovasi ini kerana ia merupakan perkara baharu dalam industri dan kita juga percaya kaedah Night Farming ini merupakan yang pertama dilaksanakan di dunia. 


"Nanas merupakan sejenis tanaman Crassulacean Acid Metabolism (CAM) yang menyaksikan proses fotosintesis berlaku pada waktu malam. Jadi bila nanas ditanam dan dijaga dengan kaedah Night Farming, ia lebih berkesan kerana kita beri ia ‘makan’ sewaktu ia sedang bekerja berbanding kita baja ia pada waktu siang yang ketika itu ia sedang ‘tidur’ atau berehat," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 


Mohd Khairuzamri berkata LPNM juga bercadang memperluas kaedah itu kepada nanas jenis MD2 kerana ia mendapat permintaan yang tinggi untuk dieksport terutama ke Timur Tengah dan Eropah. 


Mengulas lanjut, beliau berkata kaedah itu juga memberikan banyak manfaat kepada pengusaha nanas antaranya meningkatkan kualiti buah dan produktiviti hasil dalam perusahaan tanaman tersebut. 


"Pada masa ini, pekerja di kebun nanas tidak dapat bekerja dalam masa yang lama kerana ada yang tidak tahan dengan kepanasan matahari namun dengan kaedah ini, pekerja dapat bekerja lebih lama dan ia juga dapat mengurangkan risiko serangan haiwan perosak dengan keberadaan pekerja pada waktu itu," katanya.


Mohd Khairuzamri berkata kaedah Night Farming akan diintegrasi dengan penggunaan sumber tenaga solar bagi menjimatkan kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha nanas. 


Beliau berkata LPNM sentiasa berinovasi dengan produk yang dihasilkan daripada sisa nanas bagi memastikan pengusaha bukan sahaja menjana pendapatan tambahan tetapi juga dapat menjaga kelestarian alam sekitar. 


"Program sisa sifar atau nanas tanpa sisa telah mula ditekankan oleh LPNM bagi memastikan pembangunan atau peningkatan tanaman nanas tidak menjejaskan alam sekitar seperti pembakaran terbuka dan pembuangan sisa. 


"LPNM telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta serta institut pengajian tinggi awam dan swasta untuk membangunkan produk hiliran daripada sisa pokok nanas seperti benang serat, kertas, makanan ternakan dan medium tanaman," katanya.

 

Mohd Khairuzamru juga berkata pihaknya menjangkakan setiap pokok berpotensi menjana pendapatan sehingga RM50 pada masa hadapan yang meliputi hasil penjualan buah segar, sulur sebagai bahan tanaman serta daun dan sisa nanas sebagai bahan asas kepada penghasilan produk lain. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post