Lori tangki bawa 12,000 liter diesel subsidi ditahan di Bintulu, 500 liter diesel dirampas di Sibu


BINTULU--Unit Risikan Marin (URM), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Bintulu menahan sebuah lori tangki membawa muatan minyak mengandungi lebih kurang 12,000 liter diesel.


PPM dalam kenyataan di laman facebook berkata, hasil pemeriksaan seorang lelaki tempatan gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa permit, tanpa lesen dan tanpa kebenaran khas dari pihak KPDNHEP.



"Nilai keseluruhan diesel dianggarkan berjumlah RM 115,800," katanya.


Katanya, barang rampasan dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Bintulu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.


Sementara itu, katanya, pegawai dan tiga anggota Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPM W5) Sibu telah menahan dan memeriksa sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero. 



"Hasil pemeriksaan didapati muatan minyak diesel lebih kurang 500 liter.


"Pemeriksaan lanjut terdapat pengubahsuaian dari tangki bahagian luar tempat mengisi minyak ke tangki besi di dalam kenderaan berkenaan dan disyaki minyak diperolehi dengan cara tidak sah," ujarnya.


Katanya, pemandu dan rampasan telah ditahan dan dibawa ke Markas Tektikal PPM W5 Sibu kerana melakukan kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 


"Kes diserah kepada pihak KPDNHEP Bahagian Sibu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya," jelasnya.

Next Post Previous Post