Lelaki kurang siuman mengamuk atas bumbung rumah


Anggota bomba sedang berusaha memujuk suspek namun tidak diendahkan. Gambar media sosial


MELAKA—Polis menahan seorang lelaki kurang siuman yang mengamuk dan membawa parang serta pisau di atas bumbung dalam kejadian di rumah sewanya di Bukit Tempayan, Tanjung Keling di sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam insiden pada kira-kira 11.30 pagi itu, suspek yang berusia 37 tahun telah bertindak menumbuk bahagian mata isteri selain memarahi anak-anaknya.


“Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk meminta anak-anak lelaki itu memujuk bapa mereka untuk turun tetapi suspek tidak mengendahkannya dan terus merapu-rapu di atas bumbung. 


“Suspek tetap enggan memberi kerjasama walaupun usaha memujuk turut dilakukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka selain bertindak agresif dengan memaki hamun anggota polis yang cuba memujuk dia,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.


Beliau berkata berlaku pergelutan antara anggota polis dengan suspek yang agresif ketika cuba ditangkap menyebabkan beberapa keping atap jenis asbestos pecah namun dia akhirnya berjaya digari sebelum dibawa turun dengan bantuan anggota bomba pada kira-kira 1.40 tengah hari.


“Berdasarkan keterangan mangsa yang berusia 38 tahun, suaminya merupakan pesakit mental dan telah beberapa kali mendapat rawatan psikiatrik di Hospital Melaka selain difahamkan lelaki itu telah lama enggan makan ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital.


“Mereka telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai tiga anak berusia antara 10 hingga 13 tahun selain sudah menyewa di rumah itu lebih lima tahun lalu dengan kadar sewaan RM300 sebulan,” katanya sambil menambah suspek dihantar ke Hospital Melaka kerana cedera di kening dan beberapa bahagian badan akibat pergelutan itu.


 -- BERNAMA

Next Post Previous Post