Lelaki campak 3 ekor kucing milik jiran dari tingkat 15 ditahan
KUALA LUMPUR—Seorang lelaki tempatan ditahan semalam kerana disyaki melakukan penganiayaan dan khianat terhadap haiwan dengan mencampakkan tiga ekor kucing dipercayai milik jirannya dari tingkat 15 di sebuah apartment di Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata penahanan suspek lelaki berusia 44 tahun itu berdasarkan laporan polis yang diterima pihaknya, pada Isnin (17 Okt) lepas.
Beliau berkata laporan itu menyatakan suspek telah bertindak mencampakkan haiwan terbabit daripada tingkat kediamannya.
“Selain penahanan lelaki itu polis turut menemukan tiga ekor kucing yang tidak bernyawa bersamanya. Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku terlibat dalam kes ini dengan membuang kucing-kucing milik jirannya itu dari kediamannya dari tingkat 15,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhruddin berkata suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan.
-- BERNAMA