Larangan tukar parti dikuat kuasa sebelum PRU15 - Wan Junaidi

Wan Junaiddi semasa sidang media mengenai Rang Undang-Undang yang akan dibawa ke Sidang Parlimen Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas Tahun 2022, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR— Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.


Beliau berkata akta yang telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu masih tiada tarikh khusus bagi dikuat kuasa ketika ini.


"Ia (kuat kuasa akta) akan berlaku sebelum itu (PRU15). Jadi, semua perlu bersabar dan saya akan tampil sekali lagi (untuk maklumkan mengenai perkara itu) dalam masa terdekat,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada akta berkenaan akan dilaksanakan atau tidak sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, di Bangunan Parlimen hari ini.


Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Al-Sultan Abdullah memperkenankan 14 akta termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 lepas.


Sementara itu, Wan Junaidi berkata Bajet 2023 tetap akan dibentangkan Jumaat ini seperti yang dijadualkan susulan spekulasi pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.


Wan Junaidi berkata kerajaan komited untuk memastikan rang undang-undang yang telah dirangka termasuk Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022 yang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori akan dibawa untuk bacaan pertama dan kedua pada sidang Parlimen ini.


Menjawab mengenai usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang ditangguhkan lagi, Wan Junaidi berkata perkara itu berikutan hanya terdapat satu pencalonan sahaja bagi jawatan berkenaan untuk undian di Parlimen.


Beliau berkata hanya satu nama sahaja yang dikemukakan iaitu dari pihak kerajaan dalam tempoh 14 hari sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.


“Saya telefon (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya tanya dan beritahu beliau sekiranya tiada pencalonan dari Pakatan Harapan (PH), maka atas pemahaman yang dahulu bahawa kita akan tarik kita punya calon,” katanya.


Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said ditangguhkan buat kali kelima dan dibawa ke persidangan akan datang.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post