Kemenangan GPS penting untuk teruskan agenda pembangunan Sarawak


KUCHING—Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) penting untuk membolehkan agenda pembangunan negeri yang dirancang sebelum ini dapat diteruskan.


Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata selain itu, kemenangan berkenaan juga dapat membuktikan solidariti rakyat Sarawak terhadap parti.


“Penting bagi GPS menang PRU ini untuk menyatakan solidariti terhadap Sarawak dan kita dapat lihat sejak lima tahun lepas, banyak pembangunan berlaku di Sarawak. Kita mahu pembangunan diteruskan, tidak ditergugat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pusat Pemeriksaan Carsome di sini hari ini. 


Beliau berkata untuk itu, GPS yang merangkumi PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan semua 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak pada PRU15.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov, dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.


Sementara itu, menyentuh mengenai program berkenaan, Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata pelaburan Carsome di negeri ini akan dapat membantu mencapai inisiatif di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta meningkatkan hasil ekonomi negeri. 


“Carsome ada menyatakan hasrat membina pusat latihan bagi memberi pendedahkan kepada pekerja tempatan dalam industri automotif. Kami mengalu-alukan pelaburan sebegini,” katanya. 


Platform e-dagang automotif itu mengembangkan pengoperasiannya ke Bumi Kenyalang dengan membina empat pusat pemeriksaan baharu masing-masing di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, menjadikan jumlah keseluruhan 49 pusat pemeriksaan di seluruh negara. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post