Keanggotaan LHDN: Sarawak mahu bersama persekutuan susah senang - Abg Jo

Abang Johari berkata Sarawak telah mencadangkan supaya Setiausaha Kewangan Negeri itu menjadi anggota lembaga LHDN apabila pindaan berkenaan berkuat kuasa. Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak

KUCHING-- Kerajaan Sarawak akan dapat memahami situasi kewangan yang dihadapi kerajaan pusat dengan lebih baik jika wakilnya menjadi anggota lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata menerusi keanggotaan dalam lembaga pengarah LHDN, negeri itu akan mendapat fakta dan angka yang tepat tentang pendapatan negara dan sumbangan Sarawak kepada pendapatan. 


“Dari situ barulah kita dapat melahirkan formula yang berpatutan bagi mereka (Persekutuan) memberikan geran khas seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D (Perlembagaan Persekutuan),” katanya.


Bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks dan Sekolah Tahfiz Hikmah di sini hari ini, beliau berkata selama ini geran khas di bawah Perkara 112D diberikan tanpa maklumat terperinci dari LHDN tentang situasi kewangan negara.


“Kalau keadaan (kewangan) negara tidak begitu baik, anda tidak mengharapkan kerajaan Persekutuan memberikan kami geran yang tinggi. Kita mesti bersama-sama kalau susah, sama-sama susah. Kalau senang, sama-sama senang,” katanya mengulas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.


Dalam kenyataan itu, Tengku Zafrul berkata Kabinet telah meluluskan cadangan meminda Akta LHDN 1995 bagi membolehkan wakil dari Sarawak dan Sabah sebagai ahli lembaga.


Menurutnya cadangan itu diluluskan pada 30 Sept lepas dan akan dibentangkan ke Parlimen, namun kenyataan itu tidak menyatakan tarikh pembentangannya.


Di bawah cadangan pindaan itu, Kabinet akan menginstitusikan wakil daripada Sabah dan Sarawak di dalam lembaga pengarah LHDN, di samping membolehkan pelantikan wakil dari kalangan penjawat awam kerajaan negeri tersebut.


Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak telah mencadangkan supaya Setiausaha Kewangan Negeri itu menjadi anggota lembaga LHDN apabila pindaan berkenaan berkuat kuasa.


“Saya yakin ini sedang dibuat bahkan sedang diusahakan dan kami akan hantar pegawai (perwakilan) melalui Setiausaha Kewangan Negeri. Apabila dia ada dalam LHDN, setidak-tidaknya kita tahu fakta dan jumlah hasil, hasil negara dan berapa pula sumbangan Sarawak,” tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post