Kastam patahkan cubaan edar 3,198 gram dadah jus ketamin guna bas ekspres


KUCHING--Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan mengedar 3,198 gram dadah jus campuran ketamin  bernilai RM 384,700 menggunakan bas ekspres dari Miri ke Kuching.


Pemangku Pengarah Kastam Sarawak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, sepasukan Pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching semasa melakukan Ops Bersepadu Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Sarikei - Sri Aman telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bas ekspres antara bandar pada jam 5.40 pagi, 26 September lalu.



"Pemeriksaan rapi yang dilakukan ke atas bungkusan yang ditemui dalam ruang kargo bas berkenaan telah membawa kepada penemuan sejumlah 100 paket ‘juice master’ yang mengandungi serbuk disyaki campuran dadah jenis ketamin.


"Dadah terbabit disembunyikan di dalam bungkusan makanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya ketika mengadakan sidang media di Wisma Kastam di sini, hari ini.



Menjelas lanjut, katanya, siasatan awal mendapati bungkusan tersebut telah dihantar dari Miri menuju ke Kuching. 


"JKDM Sarawak akan mengesan individu pengirim serta penerima di Kuching berdasarkan maklumat pengiriman yang tertera pada bungkusan tersebut untuk membantu siasatan. 


"Jus mengandungi dadah ini dipercayai mempunyai permintaan tinggi di kawasan bandar terutamanya di kelab-kelab malam dan seumpamanya," katanya.


Mohd Nadzri berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati," katanya.


"JKDM Sarawak sejak Januari tahun ini berjaya merampas 24.355 kilogram dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ganja serta 106 biji pil eramin-5 dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1.38 juta," katanya.


Beliau turut memohon kerjasama orang ramai untuk membantu JKDM memerangi jenayah terutamanya kegiatan penyeludupan seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.


"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Next Post Previous Post