Jokowi, FIFA sepakat lakukan transformasi bola sepak Indonesia

Jokowi dan Gianni Infantino memegang bola semasa pertemuan hari ini. Gambar kredit Muhd Azran Malek

JAKARTA—Presiden Indonesia Joko Widodo menerima kunjungan Presiden FIFA Gianni Infantino untuk membincangkan hala tuju arena bola sepak negara itu susulan tragedi yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, di Malang, Jawa Timur.


Pertemuan selama dua jam di Istana Merdeka hari ini turut membincangkan secara terperinci aspek pengurusan stadium, keselamatan, perlawanan dan penyokong.


“Transformasi bola sepak Indonesia akan bermula bersama FIFA yang akan mempunyai pejabat di sini sehingga semuanya berjalan lancar,” kata Joko Widodo, yang dikenali mesra sebagai Jokowi dalam satu kenyataan.


Sementara itu, Infantino menegaskan FIFA sedia bekerjasama rapat dengan kerajaan, Konfederasi Bola Sepak Asia dan Persatuan Bola Sepak Indonesia untuk mereformasi bola sepak Indonesia.


Usaha ini penting memandangkan Indonesia akan menganjurkan FIFA U-20 World Cup 2023, selepas pembatalan edisi 2021 akibat pandemik COVID-19.


Pada 8 Oktober, Jokowi mengesahkan Indonesia tidak akan dikenakan hukuman oleh FIFA susulan tragedi 1 Okt di Stadium Kanjuruhan di mana 133 penyokong maut akibat rusuhan dan rempuhan apabila penyokong memasuki padang. 


Kekalahan pasukan tuan rumah Arema FC buat kali pertama di laman sendiri dalam tempoh 23 tahun semasa pertemuan dengan pasukan Persebaya Surabaya mencetuskan kemarahan penyokong.


Situasi bertukar tegang, memaksa pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata menyebabkan beribu-ribu penyokong berasak-asak untuk keluar dari padang melalui beberapa pintu sehingga menyebabkan rempuhan.


Jumlah yang maut bertambah menjadi 133 orang selepas seorang penyokong yang dirawat di hospital meninggal dunia tengah hari tadi.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post