Jangan keliru dengan janji manifesto, kata Ismail Sabri

Ismail Sabri bergambar bersama pengunjung Program Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia anjuran RISDA di Bera hari ini. Gambar FB Mohd Salim Mohd Sharif 

BERA— Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap pengundi tidak terkeliru dengan pelbagai janji parti lawan di dalam manifesto yang akan diumum mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.


Naib Presiden UMNO itu berkata sememangnya setiap kali pilihan raya, parti-parti yang bertanding akan menjanjikan pelbagai perkara hanya untuk meraih undi.


“Sekarang ini janji baharu, Perdana Menteri tak payah ambil gaji. Orang kampung bukan nak dengar ambil gaji ke tak ambil gaji. Orang kampung nak dengar apa yang boleh kerajaan buat untuk kepentingan orang kampung, bukan soal dia ada gaji atau tak ada gaji,” katanya, lapor Bernama.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini hari ini.


Sebaliknya, Ismail Sabri berkata apa yang dijanjikan kerajaan di dalam Bajet 2023 telah dikaji sedalam-dalamnya berdasarkan kemampuan kewangan semasa kerajaan.


“Kalau bentang maknanya duit dah ada, bukan setakat janji kosong. Cuma tunggu masa untuk melaksanakannya, selepas kelulusan apabila ia dibentang semula,” katanya.


Ismail Sabri turut memberi jaminan segala apa dijanjikan di dalam bajet berkenaan akan dilaksanakannya sekiranya mendapat mandat semula sebagai Perdana Menteri.


Malah, katanya sebelum ini, kerajaan tidak pernah mengetepikan keperluan rakyat terutama ketika pandemik COVID-19 dan banjir besar.


Katanya sewaktu pandemik, tiada rumah yang tidak mendapat bakul makanan dan ketika banjir besar, kerajaan memperuntukkan bantuan kewangan terbesar dalam sejarah bagi membantu mangsa banjir.


“Ini yang dilakukan kerajaan, kita tak mudah berjanji bulan bintang seperti orang lain. Tetapi dalam bajet, elaun, bayangkan di Bera ini ramai nelayan darat, waktu saya Menteri Pertanian dahulu, kita beri subsidi, kita bagi insentif bulanan RM250 sebulan kepada nelayan darat, tetapi waktu Pakatan Harapan perintah, mereka potong.


“Tetapi kali ini kita, elaun sara hidup nelayan darat diperkenal semula, dan bajetnya juga telah kita bentangkan dalam Parlimen,” katanya.

Next Post Previous Post