Henti sementara aktiviti di kawasan risiko tanah runtuh, kepala air

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan NADMA semasa sesi Latihan Ex-Genting di sekitar Terowong Genting Sempah di sini, awal pagi tadi.

BENTONG—Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan agar segala aktiviti di kawasan berisiko terjadinya kepala air dan tanah runtuh dihentikan buat sementara ketika negara sedang mengalami peralihan ke Monsun Timur Laut.


Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata agensi atau mana-mana badan yang mengawal selia tempat berkenaan termasuk pemilik pusat peranginan di tepi sungai perlu menghentikan aktiviti di kawasan terbabit bagi mengelak pengunjung terperangkap jika berlakunya bencana.


Beliau berkata bagi individu yang masih ingin melakukan aktiviti seperti mendaki atau berkhemah di kawasan berisiko itu dinasihatkan membawa alat komunikasi supaya boleh memberitahu lokasi mereka dengan tepat kepada pasukan penyelamat jika terjadi sesuatu tidak diingini.


"JBPM telah melakukan program libat urus dengan pemimpin tempatan di kawasan bukan hotspot banjir bagi memastikan jabatan berkenaan lebih bersedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan bulan hadapan sehingga Mac tahun depan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat Latihan Ex-Genting di sekitar Terowong Genting Sempah di sini, awal pagi tadi.


Mohammad Hamdan berkata melalui program itu pemimpin tempatan boleh menyalurkan maklumat mengenai kenaikan paras air sungai, keadaan cerun dan situasi hujan di kawasan mereka kepada JBPM sebagai langkah persediaan.


"Pada tahun lepas kita tidak sangka kawasan seperti Taman Sri Muda di Selangor, Bentong (Pahang) dan Maran (Terengganu) akan mengalami banjir besar dan kejadian tanah runtuh serta kepala air, jadi tahun ini saya percaya kita lebih bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan," katanya.


Beliau berkata cuti anggota bomba di negeri pantai timur akan dibekukan mulai pertengahan bulan hadapan sehingga hujung Disember bagi menghadapi banjir yang dijangka berlaku, dan hanya hal kecemasan diberikan pertimbangan untuk bercuti.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim berkata pihak NADMA telah selesai mengadakan enam bengkel mengenai pengurusan banjir di seluruh negara melibatkan zon utara, selatan, tengah, timur, Sabah dan Sarawak.


"Ada beberapa lagi bengkel NADMA belum selesai, tetapi dari segi persiapannya kita telah bersedia,” katanya yang turut hadir pada program latihan tersebut.


Mengenai latihan berkenaan, Meor Ismail berkata ia melibatkan latihan tiga simulasi kecemasan membabitkan kemalangan kenderaan, kebocoran bahan kimia berbahaya dan tanah runtuh bagi melihat tahap kesiapsiagaan semua agensi berkaitan.


"Kira-kira 400 individu daripada Kementerian Kesihatan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), JBPM Pahang dan NADMA terlibat dalam latihan ini yang boleh disifatkan amat berjaya," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post