Hasrat Tun Mahathir jalin kerjasama PH tidak kesampaian


PETALING JAYA-- Hasrat Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) dan Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengadakan rundingan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak kesampaian apabila ditolak PH.


Perkara ini dijelaskan Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail, menerusi ciapan di Twitter, pada Sabtu yang mengatakan PH menolak kerjasama dengan GTA.


"Kita berkongsi tujuan yang sama untuk kalahkan BN dan PN. Tapi Pakatan Harapan akan hadapi PRU15 kali ini sebagai gabungan tanpa Mahathir.


"Kami doa Mahathir diberi kesihatan yang baik dan jika Mahathir pilih masuk bertanding kami ucap selamat maju jaya," katanya dipetik menerusi laporan Berita Harian hari ini.


Pada Jumaat, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA dan PEJUANG, menyatakan kesediaan bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15.


Selain itu, Tun Mahathir turut melahirkan keyakinan mempunyai matlamat yang sama dengan Anwar dalam mengetepikan Barisan Nasional (BN), malah sedia mengambil langkah pertama ke arah kerjasama itu.


Sementara itu, Anwar menegaskan tiada masalah bertemu dan berbincang dengan Dr Mahathir mengenai kerjasama politik menjelang PRU15.


Bagaimanapun, Presiden PKR itu menegaskan, perkara yang ditekankan PH ialah kepentingan melawan Perikatan Nasional (PN) dan BN.


Atas kapasiti Pengerusi BERSATU, Dr Mahathir dan Anwar bekerjasama menewaskan BN dalam PRU14 pada 2018 di bawah naungan PH yang turut disertai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).


Dr Mahathir kemudian meninggalkan BERSATU yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH, sebelum mengasaskan PEJUANG dan disusuli pembentukan GTA yang membariskan parti berasaskan Melayu.


GTA turut dianggotai badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan profesional.

Next Post Previous Post