Harga minyak dijangka kekal tinggi hingga tahun depan
Maybank IB memberitahu, unjuran harga minyak (Brent) pada US$100 setong bagi 2022-2023 tidak berubah. Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR—Maybank Investment Bank mengekalkan pendirian positifnya terhadap sektor minyak dan gas Malaysia susulan langkah yang diambil oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum Plus (OPEC+) untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari pada November 2022.
Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata langkah tersebut bercanggah dengan sasaran Amerika Syarikat untuk menurunkan harga minyak.
“Dengan langkah ini, harga minyak dijangka kekal tinggi. Unjuran kami bagi harga minyak (Brent) pada US$100 setong bagi 2022-2023 tidak berubah,” kata Maybank IB.
OPEC+ bersetuju untuk mengurangkan kuota pengeluarannya sebanyak dua juga tong sehari pada November 2022, bagi meningkatkan harga minyak yang ketika ini turun kepada US$80 setong.
Ini merupakan penurunan terbesar oleh kumpulan OPEC+ sejak kemuncak pandemik pada 2020, kata Maybank Investment.
“Kami berpandangan langkah ini (penurunan pengeluaran) adalah wajar kepada negara pengeluar minyak, ke atas ekonomi, operasi dan politik, memandangkan kapasiti tambahan yang terhad dan ketidakupayaannya untuk memenuhi kuota pengeluaran pada masa lalu,” katanya.
Sebelum ini, OPEC+ kekurangan kira-kira 3.6 juta tong sehari daripada sasaran pengeluarannya pada Ogos 2022.
-- BERNAMA