Bot nelayan leka menangkap ikan di zon larangan ditangkap

Gambar APMM Bintulu

BINTULU:  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu bertindak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang disyaki telah menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen petang Jumaat.


Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, bot nelayan tebabit ditahan pada jarak lebih kurang tujuh batu nautika dari Tanjung Kidurong sekitar jam 3.30 petang.


Gambar APMM Bintulu


"Penahanan bot itu dibuat semasa aset Zon Maritim Bintulu melakukan rondaan rutin yang mana semasa ditahan, mereka didapati sedang leka menunda pukat dikawasan yang tidak dibenarkan," ujarnya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, hasil penahanan dan penggeledahan yang dibuat bot kelas C tersebut dikendalikan lima kru termasuk tekong dan empat daripadanya termasuk tekong merupakan warga Indonesia manakala seorang lagi kru adalah warga tempatan berumur lingkungan 26 hingga 53 tahun.


Kru Indonesia yang ditahan ujarnya mempunyai pasport dan permit untuk bekerja di atas vesel nelayan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.


Bot beserta peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda, 300 kilogram ikan campur yang dipercayai baru ditangkap kesemuanya dirampas dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan boleh dikenakan tindakan kompaun.

Next Post Previous Post