BN perlu dominan di Putrajaya, mudahkan keputusan penting dilaksanakan - PM


BERA-- Barisan Nasional (BN) perlu menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya menjadi dominan di Putrajaya, sekali gus membolehkan keputusan penting dapat dilaksanakan dengan mudah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 


Beliau berkata kemenangan BN ditambah dengan kerjasama rakan-rakan parti dari Sabah dan Sarawak juga, dapat menghilangkan 'rasa tidak stabil' selain tidak lagi perlu mengharap ihsan pihak lain. 


"Ketika ini walaupun saya Perdana Menteri, namun BN dalam kerajaan hanya menyumbang 42 kerusi, tak banyak... betul mereka (pembangkang) setuju dengan saya sebagai Perdana Menteri, namun kita rasa tak kuat. 


Tumbang atau tidak kerajaan, kalau ada lima yang tarik (sokongan) boleh tumbang. Sentiasa rasa tak stabil. 


"Pembangkang sudah tandatangan perjanjian memorandum persefahaman, tetapi jika mereka tidak sokong dalam Parlimen semasa mengundi juga, kita tak boleh menang. Kita ini mengharapkan undi dia. Jadi yang terbaik ialah jangan mengharap orang tetapi kita sendiri yang menentukan hala tuju negara," katanya. 


Naib Presiden UMNO itu berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini. 


Ismail Sabri berkata kemenangan besar BN dapat membentuk sebuah negara stabil, yang tidak berlaku sejak akhir-akhir ini apabila semakin banyak kritikan terbuka terhadap dirinya dibuat pemimpin parti, termasuk daripada mereka yang bergabung dalam kerajaan. 


"Kalau makin lama, makin teruk lagi kritikan dan asakan dan sudah tentu saya tidak boleh mentadbir kerajaan dengan sempurna seperti di peringkat awal saya menerajui pentabiran negara," katanya dan menambah ia antara faktor beliau memohon supaya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15. 


Beliau berkata pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas membawa isyarat kepada semua jentera gerak kerja BN, supaya perlu bekerja keras untuk memenangkan BN kerana masa untuk pilihan raya 'sudah sangat dekat'. 


Gerak kerja juga perlu meliputi penguasaan media sosial, menerusi kreativiti untuk menyebarkan mesej dan naratif kerajaan serta menjawab fitnah daripada pembangkang, yang sering menggunakan platform tersebut. 


"Penguasaan media sosial kita mesti lebih daripada mereka (pembangkang). Mereka buat simple sahaja tetapi menarik seperti sebuah lagu yang baru-baru ini trending. Kita juga perlu kreatif dan buat satu lagu (bertajuk) cukup sekali... cukup sekali janji dia. 


"Kita kena jawab tuduhan mereka di media sosial. Dulu (PRU14) kita kalah kerana tak jawab fitnah mereka. Kalau dulu sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-11,  mungkin orang tidak begitu lihat media sosial tetapi sekarang semua sudah pandai dan sudah ada pelbagai kumpulan WhatsApp," katanya. 


Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera turut mengingatkan jentera parti di bahagian itu bahawa mereka mempunyai 'tugas lebih berat’ berbanding pilihan raya umum lepas, memandangkan kerusi Parlimen itu menjadi tumpuan semua pihak kali ini kerana ia kerusi yang diduduki Perdana Menteri. 


Selain itu katanya gerak kerja itu juga perlu memastikan kemenangan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di bawah Parlimen Bera, iaitu Guai dan Kemayan dikekalkan, di samping merampas kembali DUN Triang daripada DAP. 


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post