Angka kematian akibat ribut tropika Nalgae Filipina meningkat kepada 72
Mangsa banjir di wilayah Maguindanao dipindahkan ke penempatan yang selamat. Gambar kredit FB Philipines Coast Guard |
MANILA-- Angka kematian akibat ribut tropika Nalgae, yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa bahagian Filipina meningkat kepada 72 orang, menurut jurucakap agensi bencana kerajaan pada Sabtu.
Jurucakap Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara Rafaelito Alejandro sebagai berkata sebahagian besar mangsa maut adalah dari wilayah Maguindanao di selatan Filipina, dengan 67 kematian.
Sekurang-kurangnya 14 lagi masih hilang, lapor Bernama.
Maguindanao ialah wilayah di Daerah Autonomi Islam Bangsamoro di Mindanao (BARMM).
Menteri dalam negeri dan kerajaan tempatannya Naguib Sinarimbo berkata sembilan bandar di Maguindanao dinaiki air dengan kebanyakan kawasan di Bandar Cotabato BARMM ditenggelami air buat kali pertama sejak beberapa tahun. BARMM "menaikkan tahap amaran kepada merah" sejak Jumaat.
Menurut laporan media tempatan, sebuah kampung di Datu Odin Sinsuat tertimbus dalam tanah runtuh, mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 orang maut.
Nalgae merupakan taufan ke-16 yang melanda Filipina tahun ini. Ia melanda Catanduanes, sebuah wilayah pulau di wilayah Bicol sebelum subuh Sabtu.
Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina berkata tiupan angin Nalgae adalah pada maksimum 95 km sejam, dengan tiupan sehingga 160 km sejam pada Sabtu.
Biro cuaca negara berkata Nalgae sedang bergerak ke barat-barat laut pada kelajuan 30 km sejam dan kelajuan dijangka semakin meningkat apabila ia bergerak ke pedalaman. Ia dijangka merentasi wilayah Metro Manila dan kawasan bersebelahannya dalam tempoh awal petang Sabtu hingga pagi Ahad.
Biro itu memberi amaran banjir dan tanah runtuh akibat hujan dijangka berlaku, terutama di kawasan yang sangat terdedah kepada bahaya ini dan di kawasan yang menerima hujan lebat.
Filipina adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana di seluruh dunia berdasarkan lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan Lingkaran Taufan Pasifik. Secara purata, negara kepulauan itu mengalami 20 taufan setiap tahun termasuk beberapa daripadanya kuat dan merosakkan.
Pada April, ribut tropika Megi menurunkan hujan di bahagian tengah dan selatan Filipina, membanjiri banyak kawasan dan menyebabkan tanah runtuh dan lebih 220 kematian.