6 Oktober parlimen dibubarkan; 5 November PRU15?
KUALA LUMPUR-- Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjangkakan Dewan Parlimen akan dibubarkan 6 Oktober ini, dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada 5 November tahun ini.
Memetik laporan Malaysia Kini, Ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang menjangkakan parlimen dibubarkan pada Khamis iaitu sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2023.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata beliau hari ini menerima mesej yang berbunyi:
“Sumber terkini: 6 Oktober parlimen dibubarkan; 5 November PRU.”
Tambah Lim, jika benar tindakan itu dilakukan, ia seperti penghinaan kepada parlimen yang sedang membincangkan beberapa RUU.
“Seorang perdana menteri yang bertanggungjawab tidak patut dengan sengaja menghina parlimen dengan membuat Dewan Rakyat membahas dan meluluskan RUU yang tidak menjadi undang-undang akibat pembubaran Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar menjangkakan parlimen dibubarkan pada Jumaat dan pengumuman akan dibuat sehari sebelumnya.
“Kesian kat YAB PM (yang amat berhormat perdana menteri).
“Demi nak jaga hati kawan-kawan perompak Jumaat ini dah nak kena bubar juga parlimen,” kata Mahfuz.
Sehingga semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilapor berada di luar negara dan tiada pertemuan dijadualkan untuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap baginda.
Sementara itu, Ismail Sabri terus menerima tekanan daripada partinya, Umno untuk membubarkan parlimen.
Selain itu, Mahfuz dalam hantaran di media sosialnya dilihat pasrah dengan langkah itu, walaupun PH berpendirian pilihan raya tidak wajar diadakan ketika musim banjir.
“Tak apalah YAB, bubar pun bubarlah, asal ada ketentuan.
“Duk dingdong dingdong pasal PRU15 ini menyusahkan rakyat saja.
“Selamat membubar,” sindirnya.
Jelasnya lagi, kemungkinan pengumuman tersebut akan dimaklumkan dalam perjumpaan khas Umno di PWTC petang ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, jika belanjawan dibentangkan dahulu, pembubaran parlimen tidak dapat dibuat kerana memerlukan masa untuk dia dibahaskan.
“Jadi saya fikir, dia juga nak mengelak daripada… kalau bentang bajet dulu, kena mengambil masa dua minggu untuk memberi laluan kepada perbahasan (bajet) sebelum dibubar.
“Jadi dia bubar sebelum hari Jumaat,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz melihat, jika parlimen benar dibubarkan dalam masa terdekat, ia akan membazirkan masa sidang parlimen yang sedang membincangkan beberapa rang undang-undang (RUU) yang penting.
“Ini akan menunjukkan yang kerajaan tak sensitif.
“Sepatutnya, sebelum sidang parlimen ini dah bubar. Kenapa perlu panggil sidang parlimen dulu, tiba-tiba kita bubar?” katanya.
Sementara itu, Umno akan mengadakan perjumpaan khas ketua-ketua bahagian, termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pada dua petang ini.
Pertemuan dengan Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri itu dikatakan perhimpunan terbesar dan terakhir Umno sebelum parlimen dibubarkan.