4 keluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah sewa musnah terbakar
Gambar BBP Kapit |
KAPIT: 29 penghuni dari empat keluarga di sebuah rumah sewa di Tatai Kenyalang Jalan Selirik tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa dia tingkat yang didiami mereka musnab dalam kebakaran petang tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, PPgB Timothy Barat, sepasukan anggotanya bergerak ke lokasi kejadian dengan menggunakan dua jentera sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.40 petang.
Gambar BBP Kapit |
"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah dua tingkat jenis separa kekal itu," jelas beliau.
Katanya setelah melakukan "size-up," pasukan bomba memulakan kerja memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran air yang mana sumber air diperoleh dari pili bomba berdekatan.
Gambar BBP Kapit |
Pasukan bomba ujarnya mengambil masa selama satu jam setengah bagi memadam kebakaran yang mana api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.30 petang.
Maklumat awal yang diterima katanya kebakaran dipercayai bermula dari bahagian atas kediaman terbabit, bagaimanapun punca kebakaran serta anggaran kerugian dialami kesemua mangsa masih lagi dalam siasatan.
Mujurlah ujarnya kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana kesemua penghuni berjaya lari menyelamatkan diri.
Turut dilakukan bahawa kesemua mangsa terjejas tinggal sementara di rumah sanak saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba.