Wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan kecederaan
SEREMBAN—Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada anggota badan di sebuah rumah di Jalan Kedidi 7, Taman Paroi Jaya dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berusia lingkungan 70-an itu pada 8.25 malam.
“Siasatan mendapati beberapa barang peribadi milik wanita itu telah tiada dan mayatnya dihantar Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanda berkata susulan itu, polis meminta seorang lelaki, Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, beralamat di Kampung Berkat Chembong, Rembau, Negeri Sembilan tampil bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kejadian kepada Pegawai Penyiasat ASP Fauzan Azima Razak di talian 06-6033 222 dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
Sementara itu, anak mangsa yang dikenali sebagai Asri, 49, berkata ketika kejadian bapanya yang berusia 82 tahun dan menghidap glaukoma sejak dua tahun lepas berada dalam sebuah bilik di rumah itu namun tidak mendengar insiden tersebut disebabkan keadaan rumah yang besar.
Asri berkata rumah berkenaan hanya didiami ibu dan bapanya dan bapanya turut memaklumkan ada seorang sepupu lelakinya datang ke rumah untuk meminjam wang.
Menurut Asri, lelaki tersebut pernah datang ke rumah itu dua kali dan beliau juga telah menasihati ibu serta bapanya untuk tidak memberikan duit kepada lelaki itu.
“Masa kejadian, ayah hairan sebab suasana rumah dah gelap tetapi tak buka lampu lagi… ayah minta tolong jiran untuk telefon saya kira-kira pukul 6 petang. Saya bergegas ke rumah emak dan sebaik sampai, didapati emak terbaring atas sofa dengan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Tak sangka sepupu datang lagi tanpa pengetahuan kami semua. Kejadian pemergian ini sangat kejam bagaimanapun saya reda dan biar polis ambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini.
Asri berkata beliau ada menelefon sepupunya itu namun panggilan tidak dijawab dan lelaki itu juga didapati tidak berada di rumahnya di Rembau.
Menurut Asri, jenazah ibunya akan disembahyangkan di Masjid Qaryah Paroi Jaya dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chembong, Rembau petang ini.
-- BERNAMA