Wanita berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil
Wanita yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil bagi membantu siasatan. Gambar media sosial |
BUKIT GANTANG-- Wanita yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil bagi membantu siasatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
“Patutnya dia perlu berani tampil ke hadapan sebab dia berani tunjuk gambar berada di sana (Mekah) dengan berpakaian ihram seolah-olah ingin menimbulkan provokasi, mengapa perlu takut,” katanya kepada pemberita selepas Program Berjalan Teguh Bersama di Dataran Tarbiah di sini hari ini.
Pada 1 Sept lepas, Idris dilaporkan berkata individu tersebut telah pulang dari Tanah Suci namun masih belum mendapatkan maklumat bagi mengesannya.
Menerusi video yang tular pada 12 Ogos, wanita berkenaan berada di Mekah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan difahamkan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi.
Terdahulu, program hari ini yang bertujuan merapatkan ukhuwah rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gantang dihadiri ribuan peserta dari pelbagai lapisan umur.
“Walaupun dengan keadaan cuaca yang kurang baik, kita berjaya menghabiskan perjalanan sepanjang 2.5 kilometer dari Dataran Tarbiah hingga ke Arena Futsal Bukit Gantang,” tambahnya.
-- BERNAMA