Sukma 2022: Lavinia Kho menang emas untuk Sarawak

Lavinia (kanan) dan rakan sepasukan Nur Hazirah. Gambar kredit Bowling Malaysia

PETALING JAYA-- Semangat tidak mengalah biarpun ketinggalan pada pusingan keempat menjadi kunci utama atlet Sarawak Lavinia Kho Jia Jie menggenggam emas acara boling perseorangan wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Sunway Mega Lanes di sini hari ini. 


Atlet berusia 18 tahun itu memastikan beliau tidak pulang tangan kosong pada penampilan sulungnya setelah melakukan 1,271 jatuhan pin  untuk mengetepikan cabaran rakan sepasukan Nur Hazirah Ramli yang merangkul perak (1,268) dan gangsa milik atlet Selangor Nur Nais Falilnesa Isman (1,263). 


Lavinia yang mempamerkan corak permainan cemerlang mengakui tidak menyangka mampu muncul juara berdasarkan senarai atlet turut mengambil bahagian.


“Ia adalah permulaan hebat untuk dua dan tiga perlawanan, namun pada perlawanan keempat (skor) saya rasa tidak mempunyai peluang tapi terima kasih kepada jurulatih saya Angelo Koay yang menenangkan saya dan minta saya kembali fokus.


“Sebenarnya, saya tidak tahu saya muncul juara dan saya amat terkejut kerana sasaran saya adalah 10 terbaik...Jadi, saya sangat gembira,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau juga tidak menyangka mampu memberi saingan sengit kepada atlet kebangsaan Gillian Lim Siew Giok yang juga rakan sepasukan yang menamatkan cabaran di tempat ke-12 dengan 1,124 mata.


Tumpuan Lavinia kini beralih kepada acara beregu dan trio wanita yang berlangsung esok namun memaklumkan masih belum pasti gandingan yang akan berpasangan dengan beliau.


“Saya tidak pasti acara mana akan disertai (sama ada beregu atau trio) tapi saya akan sertai satu daripada acara terbabit. 


Sukar untuk menetapkan sasaran, kekal 50-50 kerana boling sukan yang sukar kita hendak jangka, tapi saya akan cuba yang terbaik,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post