Status OKU tidak halang Cikgu Iran Shah cipta inovasi 'Braille Magic Cell'

Iran Shah menunjukkan inovasi ‘Braille Magic Cell’  menggunakan bekas telur dan bola ping pong yang memenangi juara kategori individu pendidikan khas pada pertandingan akhir 3-Minute PdP Pitching anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini. Gambar kredit KPM

PUTRAJAYA— Berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan tidak menghalang seorang guru Iran Shah Ramatullah, mencipta inovasi dinamakan ‘Braille Magic Cell’ yang mampu melancarkan proses mempelajari tulisan Braille.


Inovasi menggunakan bekas telur dan bola ping pong ciptaan Iran Shah, 39, dinobatkan sebagai juara kategori individu pendidikan khas pada pertandingan akhir 3-Minute PdP Pitching anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.


Ditemui pemberita selepas pertandingan itu, Iran Shah berkata Braille Magic Cell dapat membantu pelajar keperluan khas mempelajari tulisan Braille dengan cepat dan mudah.


“Idea untuk cipta inovasi ini tercetus apabila seorang murid saya yang buta sukar untuk belajar tulisan Braille…jadi saya guna bekas telur dan bola ping pong untuk memudahkan dia kenal tulisan Braille tidak kira Rumi atau Jawi.


“Pelajar boleh pegang bola ping pong dan tahu huruf apa yang sedang dipelajari…ia memang memudahkan pelajar secara tidak langsung melatih jari untuk bergerak dan kenal objek,” kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur itu.  


Sementara itu, Noorhasliza Mohamad yang dinobatkan juara bagi kategori berkumpulan menerusi inovasi ‘Kit Abang Sado’ berkata pertandingan 3-Minute PdP Pitching memberikan ruang untuk guru-guru lebih kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).


“Ini secara tidak langsung membuat proses PdP lebih menarik. Inovasi Kit Abang Sado yang diperbuat daripada bahan kitar semula seperti batang aiskrim sebagai contoh memudahkan pelajar memahami struktur lengan manusia.


“Inovasi saya bersama rakan Sharifah Hidayah Syed Taufik akan saya perkenalkan untuk guru-guru lain gunakan,” kata guru SMK Sultan Sulaiman, Terengganu itu. 


Iran Shah menerima hadiah wang tunai RM800, Ipad, plak penghargaan dan sijil pencapaian manakala Noorhasliza memperoleh hadiah wang tunai RM1,500, plak dan sijil pencapaian bagi kategori berkumpulan. Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. 


Terdahulu, Radzi dalam ucapannya berkata beliau menggalakkan guru-guru untuk mencipta inovasi yang mampu meningkatkan proses PdP selaras anjakan teknologi pendidikan masa kini. 


“Kita perlu ramai guru cipta inovasi seterusnya menjadikan suasana pembelajaran di sekolah lebih baik dan seronok,” katanya.


Pertandingan 3-Minute PdP Pitching ialah inisiatif KPM untuk menggalakkan guru-guru mencipta inovasi dalam proses PdP bagi meningkatkan kepelbagaian pedagogi bilik darjah. 


Empat kategori dipertandingkan dalam pertandingan 3-Minute PdP Pitching iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah pendidikan khas dengan setiap kategori boleh disertai secara individu atau berkumpulan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post