Rasa mimpi, mujur masih hidup kongsi mangsa kapal karam di Beladin

Gambar kapal karam, sisipan Abraham Gehinan. Difahamkan telefon beliau hilang dalam kejadian karam menyebabkan usaha kami menghubungi beliau buntu.

SIBU-- Berpantang maut sebelum ajal! Itulah yang dialami seorang pemuda yang berkongsi detik cemas yang dihadapi dia dan rakan sekerja lain apabila kapal mereka dengan muatan pasir karam di seberang Beladin awal pagi Sabtu. 


Abraham Gehinan, 21 tahun antara empat yang terselamat dalam insiden tersebut melahirkan rasa syukurnya di Facebooknya hari ini. 



"Puji Tuhan, agi idup. Asai ke mimpi (Puji Tuhan, masih hidup. Rasa bermimpi)," katanya. 


Menceritakan detik cemas itu, Abraham berkata, sebelum kejadian dia tidur dalam kapal tersebut. 


Jelasnya, sekitar jam 4 pagi dia terbangun daripada tidur dan tiba-tiba kapal dinaiki mereka karam. 


"Nasib tidak mengalami apa-apa,  tepat saya bangun jam 4 pagi (kapal kami karam), rasa macam mimpi," katanya dalam ruangan komen di status Facebooknya. 



Selain Abraham, tiga lagi individu yang terselamat ialah Nyamin Fajar, 32, Untung Supriyatin, 25 dan Linggang Kalamit. 


Sementara itu, seorang lagi rakan sekerja mereka, Nicholas Julius masih dilaporkan hilang. 


Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 9.30 pagi Sabtu. 


"Kawalan balai terima dari Balai Polis Pusa maklum ada berlaku kes kapal pasir karam di seberang Beladin, dan empat mangsa (lelaki) berjaya berenang ke tapak jambatan Beladin Pusa. 


"Manakala seorang mangsa lelaki dipercayai masih berada di dalam kapal, gagal keluar dari kapal," katanya. 


Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula dijalankan di sekitar lokasi kapal karam dan pencarian sepanjang sungai Saribas turut dilakukan dalam radius 2 kilometer (km) ke hulu sungai dan 2 km ke hilir sungai. 


Tambahnya, operasi SAR disambung semula pada jam 1.20 petang dan pencarian diperluaskan dalam radius 5 km sepanjang sungai Saribas. 


Bagaimanapun, operasi SAR ditangguh pada jam 5.30 petang dan akan disambung pada keesokan pagi. 


Setakat hari ini mangsa belum ditemui. 

Next Post Previous Post