PRU15: 7,063 anggota polis Sarawak sudah bersiap sedia

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

KUCHING—Seramai 7,063 pegawai dan anggota Polis Sarawak sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.


Beliau berkata pihaknya akan menggunakan pengalaman semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lepas bagi tujuan gerak kerja dan penugasan anggota pada PRU15 nanti.


“Penugasan semasa PRU15 nanti tidak akan melibatkan bantuan anggota dari luar Sarawak, kita guna kekuatan sendiri,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.


Mengulas mengenai persiapan Polis Sarawak menghadapi musim Monsun Timur Laut tahun ini pula, Mohd Azman berkata selain 1,663 anggota sudah bersiap sedia untuk penugasan, sejumlah 1,064 aset Polis Sarawak yang terdiri daripada aset darat, laut dan udara sedia digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan dalam menghadapi banjir.


Beliau seterusnya menasihatkan penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah risiko banjir untuk bersiap sedia dan sentiasa peka dengan amaran awal bencana dan berpindah segera sekiranya diperlukan.


 -- BERNAMA 

Next Post Previous Post