Projek Neu Pendington rancakkan pembangunan Pending - Abang Johari

Abang Johari semasa Majlis Pecah Tanah Pembangunan Usaha Sama antara SEDC dan UDA di tapak pembangunan Neu Pendington, di sini hari ini. Gambar kredit Sarawakku

KUCHING—Projek pembangunan bersepadu pertama di Sarawak, “Neu Pendington” dilihat dapat merancakkan pembangunan di Pending yang merupakan sebuah kawasan strategik dan bakal dilengkapi kemudahan dan perkhidmatan asas.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata lokasi projek “Neu Pendington” hasil kerjasama UDA Holdings Berhad (UDA) sebuah syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029 dan bakal menjadi antara hentian tren bagi projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di negeri ini kelak. 



“Pending ini memang kita tahu kawasan yang agak strategik kerana berhadapan dengan Sungai Sarawak dan seberang kawasan Petra Jaya yang membangun... mengubah landskap dan dinamik kawasan ini ke arah pembangunan.  


Dari segi pengangkutan awam, salah satu stesennya adalah di Pendington. Nang nak lawan London kitak tok (Kita memang nak bersaing dengan London),” katanya di sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Usaha Sama antara SEDC dan UDA di tapak pembangunan Neu Pendington, di sini hari ini.


“Neu Pendington” merupakan gabungan “Neu”  yang membawa maksud pembaharuan dan “Pendington”  kombinasi daripada nama kawasan Pending serta nama bandar di London iaitu Paddington. 


Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim berkata pembangunan bernilai RM496 juta itu merangkumi dua blok apartment, kedai pejabat berstrata  serta satu blok hotel.


Menurutnya fasa pertama projek berkenaan akan siap pada 2026 manakala fasa kedua bermula pada 2027. 


“Pembangunan kedai pejabat ini akan dapat menyediakan ruang perniagaan kepada keluarga usahawan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. Pembangunan usaha sama ini, akan memberi pulangan berjumlah hampir RM98 juta kepada SEDC merangkumi 35 unit apartment, 12 unit kedai pejabat berstrata dan sebuah hotel,” katanya. 


Norliza berkata UDA turut meninjau beberapa lokasi Miri, Sibu dan Bintulu yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai usaha menerokai pembangunan di Sarawak serta meningkatkan pemilikan hartanah kediaman dan ruang komersial terutamanya kepada komuniti Bumiputera.


Pada 2020, UDA dan SEDC telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) Pembangunan Usaha Sama bagi menjalinkan kerjasama dari segi aspek hartanah. 


Sementara itu, Abang Johari menggalakkan pemohon Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) untuk membeli unit bagi projek “Neu Pendington” sebagai pelaburan memandangkan kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai “kawasan pembangunan”. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post