PM cadang buka pejabat UN Habitat di Malaysia


NEW YORK—Malaysia mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membuka pejabat serantau Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) di Malaysia agar dapat memangkin pencapaian Matlamat Perbandaran mampan.


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan itu telah dikemukakan semasa pertemuan beliau dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres di ibu pejabat PBB di sini pada Sabtu.


UN-Habitat diberi mandat oleh Perhimpunan Agung PBB untuk mempromosikan bandar dan pengurusan bandar yang mampan dari segi sosial dan alam sekitar dengan matlamat menyediakan tempat perlindungan yang mencukupi untuk semua.


"Proses perbandaran di Asia Tenggara sangat cepat, pembukaan bandar-bandar terlalu cepat, jika tidak dijaga dengan betul, pembangunan bandar-bandar yang tidak terkawal akan menyebabkan kesan alam sekitar yang teruk,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia di sini.


Menurut beliau, bagaimanapun Setiausaha Agung PBB itu, tidak menyatakan sebarang komitmen kerana penubuhan pejabat seumpama itu melibatkan banyak pertimbangan, terutamanya dari segi kos dan perjawatan.


Perdana Menteri berkata cadangan penubuhan pejabat UN-Habitat itu turut dibincangkan dengan Pengarah Eksekutif UN-Habitat Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang merupakan anak tempatan dan wanita pertama di Asia yang memegang jawatan itu.


Dalam pertemuan dengan Guterres itu juga, Ismail Sabri berkata beliau sekali lagi membangkitkan soal transformasi badan dunia itu dan mengulangi cadangan supaya kuasa veto Majlis Keselamatan PBB dihapuskan atau dihadkan kuasanya.


"Masyarakat antarabangsa mengharapkan PBB bertindak apabila ada isu-isu tertentu dibawa ke badan antarabangsa ini. Jika gagal, apa kewajaran ujudnya PBB, misalnya ada tiga resolusi mengenai Palestin tetapi tiada penyelesaian setakat ini," katanya.


Guterres tambah Ismail Sabri, turut bersetuju dengan saranan beliau dalam ucapan di Perhimpunan Agung PBB ke-77 pada Jumaat untuk menghapuskan kuasa veto dan mencari penyelesaian dalam isu Palestin dan Myanmar.


"Malah, beliau memberitahu saya Perancis bersetuju supaya kuasa veto dihadkan," tambah Ismail Sabri yang akan berlepas ke Emiriah Arab Bersatu pada Ahad untuk lawatan kerja empat hari bermula Isnin. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post