Petronas umum penemuan gas di perairan Bintulu

Gambar arkib

KUALA LUMPUR— Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjaya mencatat penemuan gas di telaga cari gali Cengkih-1 di Blok SK 320 yang terletak di Wilayah Luconia Tengah, kira-kira 220 kilometer dari perairan Bintulu, Sarawak. 


Menurut syarikat minyak dan gas nasional itu, telaga cari gali Cengkih-1 itu dapat digerudi sehingga kedalaman 1,680 meter pada Ogos 2022 dan mencecah lebih 110 meter turus gas dalam kawasan takungan mercu karbonat Miocene Cycle IV/V.


Ini sekali gus mengukuhkan lagi kewujudan lebih banyak sumber gas dalam kawasan blok tersebut, demikian menurut Petronas dalam kenyataannya hari ini.


Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas Mohamed Firouz Asnan berkata penemuan terbaharu itu hanya mengesahkan lagi takungan karbonat yang berpotensi besar di Luconia Tengah.


“Usaha penjanaan hasil daripada penemuan ini juga dapat dipercepat pada kos lebih rendah berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan kemudahan sedia ada, termasuk Pegaga yang telah memulakan pengeluaran pada Mac lepas,” katanya.


Petronas Carigali Sdn Bhd merupakan pemegang 25 peratus kepentingan dalam kontrak perkongsian pengeluaran di Blok SK 320 yang dikendalikan oleh Mubadala Development Company Oil and Gas Ltd dengan 55 peratus kepentingan penyertaan manakala baki 20 peratus dipegang oleh Sarawak Shell Bhd.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post