Mayat nelayan hilang ditemukan tersangkut pada jaring pukat

Mayat Te Chia Rong dibawa naik ke darat untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Gambar kredit APMM

BATU PAHAT— Seorang nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam Rabu lepas di perairan Parit Hailam, ditemukan mati pagi ini, dengan mayatnya tersangkut pada jaring pukat.


Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata mayat Te Chia Rong ditemukan oleh pasukan penyelam pihak swasta yang dilantik keluarga nelayan berkenaan.


Beliau berkata mayat yang ditemukan pada kedalaman 40 meter di dasar laut itu berjaya dibawa naik ke permukaan pada pukul 11.45 pagi setelah usaha menaikkannya dimulakan pukul 10 pagi, dan ia kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat.


“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan sehingga kini kerja-kerja menyelam sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang lagi mangsa Chia Hock Neng, 60, yang dipercayai terperangkap di dalam bot berkenaan.


“Usaha mengapungkan bot berdepan dengan masalah cuaca buruk, dan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berharap dapat menemukan seorang lagi mangsa sebaik sahaja bot itu berjaya diapungkan,” katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Batu Pahat di sini hari ini.


Rabu lepas sebuah bot nelayan dengan empat kru dilaporkan karam akibat cuaca buruk dan ombak besar pada kira-kira pukul 5 petang, mengakibatkan Te Chia Rong, 38, dan Chia Hock Neng hilang, manakala Te Chia Haur, 40, dan Tee Kian Muar, 33, terselamat.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post