Maut langgar tembok
KUCHING-- Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu melanggar tembok dalam kemalangan kendiri berhampiran Lembaga Air Kuching, Jalan Batu Lintang di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali Raymond Barron ak Luha.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 5.54 pagi dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Batu Lintang dan BBP Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan Bomba di lokasi kejadian didapati berlakunya kemalangan kendiri Perodua Alza melanggar tembok.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan Bomba hanya bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan terbabit.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.