'Magis' kuartet wanita Sabah menjadi
Pasukan wanita Sabah mengungguli 4 x 100m wanita sekaligus menambah koleksi pingat emas catatan masa 46.84 saat. Gambar kredit KBS Malaysia |
KUALA LUMPUR-- Persiapan singkat selama seminggu tidak menghalang kuartet 4x100 meter (m) wanita Sabah mencipta ‘magis’ apabila meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Larian bertenaga telah dipamerkan Feova Lim Yi Fie, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, Nur Aishah Rofina Aling dan Patronella Lisong untuk mencatat 46.84 saat (s) menewaskan juara bertahan Terengganu yang meraih pingat perak dengan 47.42s manakala Pahang pula memenangi gangsa dengan 47.89s.
Chelsea selaku pelari terakhir berkata mereka sangat bersyukur kerana berjaya membawa pulang pingat emas berdasarkan prestasi konsisten yang ditonjolkan rakan sepasukan ketika sesi latihan.
“Kami tidak melihat negeri lain sebagai pencabar, dari separuh akhir ke final, kami cuma kekalkan tahap kelajuan dan fokus terhadap diri sendiri.
“Sebenarnya, kejayaan ini memang besar untuk kami kerana ini kali pertama kami bergandingan sebagai pasukan dan mempunyai masa hanya seminggu untuk berlatih ke Sukma,” katanya.
Sementara itu, kuartet 4x100m lelaki Terengganu ternyata dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya pada edisi 2018 pada penampilan kali ini selepas merekodkan 40.59s.
Kuartet dari Pantai Timur itu dibarisi Abdul Wafiy Roslan, Ruslem Zikry Putra Roseli, Zulfiqar Ismail dan Hasrul Najmi Badrul menewaskan pasukan Perak (40.95s) yang meraih perak diikuti Selangor (40.97s) untuk gangsa.
Pelari terakhir, Zulfiqar nyata gembira dengan keputusan berkenaan memandangkan ini adalah penampilan kedua bersama kuartet sama pada edisi 2018.
“Kalau ikutkan pencabar adalah dari Perak dan Negeri Sembilan namun saya bersyukur kerana kami berempat masih diberi kepercayaan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, persatuan dan rakyat Terengganu untuk menjadi wakil untuk membawa pulang pingat lagi dalam edisi kali ini,” katanya.
-- BERNAMA