Lelaki ditemukan maut dipercayai diserang
KUCHING-- Seorang lelaki ditemukan terbaring berlumuran darah dengan kesan kecederaan dikepala, tangan dan kaki berhampiran bulatan di tepi jalan sekolah rendah Chung Hua No 2 di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Markson Verceles ak Tabol,25, yang dijumpai jam 5.30 pagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan yang dialami jam 10 pagi tadi.
Menurut Sumber, mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HUS untuk proses bedah siasat.
Menurut isterinya, suaminya keluar dari rumah mereka di Matang Batu 8 kira-kira jam 9 malam tadi bersama rakan-rakan dan tidak mengetahui ke mana dia pergi.
Di tangan mangsa terdapat cop yang menunjukkan dia berada di sebuah pub malam sebelumnya.
Tidak diketahui sama ada dia diserang di dalam pub atau di luar dan badannya dicampak di tepi jalan.
Markson bekerja di sebuah syarikat di Samajaya berasal dari Mukah telah berkahwin dengan mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.
"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.Pihak polis masih menjalankan siasatan teperinci berhubung kes ini," katanya.