Kenaikan OPR bukan ditentukan kerajaan, Tengku Zafrul
KUALA SELANGOR— Kerajaan tidak masuk campur akan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) negara kerana ia ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata OPR ini adalah di bawah Akta Bank Negara 2009 dan kerajaan tidak campur tangan dalam urusan berkaitannya.
“Ramai mengatakan kerajaan lebih utamakan pihak bank (naikkan OPR), OPR ini bukan kerajaan yang buat keputusan, kerajaan tidak masuk campur soal ini (OPR). Itu harus diperbetulkan.
“Kenaikan OPR itu juga tidak kayakan bank kerana mereka juga perlu membayar kaedah faedah lebih tinggi kepada pendeposit,” kata Tengku Zafrul kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi 2022 di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata OPR negara kini berada pada tahap 2.5 peratus dengan Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan 75 mata asas sejak Januari lepas.
“Perlu bandingkan dengan OPR negara-negara lain, negara lain naik lebih 225 mata asas tetapi kita masih di tahap 2.5 peratus.
Adakah ini tinggi, saya rasa kalau berbanding dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada separuh tahun pertama sebanyak 6.9 peratus dan suku kedua adalah 8.9 peratus.
"Harus juga ingat OPR negara sebelum pandemik COVID-19 adalah sekurang-kurangnya tiga peratus sejak 2013. Jadi, masih rendah dan dasar monetari masih lagi akomodatif," jelasnya.
Sementara itu dalam ucapannya, Tengku Zafrul yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rasmi 2022, iaitu di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.
“Perkembangan suku kedua yang memberangsangkan ini disumbang oleh inisiatif Bajet 2022, pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, Bajet 2021, serta dasar monetari yang berhemat," tambahnya.
Selain itu, petunjuk-petunjuk ekonomi terkini turut memberikan gambaran bahawa pemulihan ekonomi negara semakin baik, memberikan indikator yang positif kepada segmen perniagaan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi, katanya.
-- BERNAMA