Bayi malang yang dibuang sihat, dijaga dengan baik


KOTA SAMARAHAN--Bayi lelaki yang dibuang dan ditinggalkan di tepi jalan raya Oxford Park Avenue, di sini, pada 9 September lalu kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS).


Pelindung, Nurkhuzaimah Abdullah berkata, bayi itu ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah, Kuching, sejak dua minggu lalu selepas mendapat perintah mahkamah.



"Bayi itu dalam keadaan sihat dan dijaga dengan baik seperti bayi yang lain di pusat itu.


"Setakat ini kes ini masih lagi dalam siasatan dan belum ada sebarang petunjuk mereka yang bertanggungjawab membuang bayi malang ini," katanya hari ini.


Katanya, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan (PKMB) Samarahan kini masih mengesan ibu kandung kepada bayi lelaki itu.


“Bayi lelaki itu ditemui dalam sebuah beg plastik hitam dengan keadaan tidak berpakaian dan turut terselit nota kecil bertulis ‘6.9.2022’ di dalam plastik tersebut.


“Tujuan pengesanan dilakukan adalah demi kebajikan kanak-kanak dan mendapatkan maklumat untuk rujukan serta tindakan selanjutnya dari pihak pelindung,” katanya.


Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali ibu kandung dan waris kepada bayi lelaki tersebut diminta untuk menghubungi pelindung, Nurkhuzaimah Abdullah di talian 082-671191 dengan kadar segera.


Dalam kejadian pada 9 September lalu, bayi lelaki malang itu ditemukan dibuang di tepi jalan dan dijumpai  seorang wanita yang melalui jalan itu pada jam 1.24 tengah hari.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, setakat ini masih belum ada tangkapan berhubung kes itu dan siasatan masih dijalankan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Next Post Previous Post