ADUN, Ahli Parlimen langgar keputusan parti gugur keahlian automatik - Amanah


SEREMBAN -- Amanah hari ini meluluskan usul meminda perlembagaannya agar mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan (ADUN) parti itu yang melanggar keputusan parti atau whip, tergugur keahliannya dari parti secara automatik.


Usul itu disokong dan dibahas oleh dua perwakilan dan dilulus majoriti perwakilan.


Naib Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi ketika mencadangkan berkata pIndaan itu berkata ia boleh dipinda dengan memasukkan fasal baharu iaitu Fasal 6.3 dalam perlembagaan Amanah.


“… mereka (ahli yang melanggar keputusan parti) juga telah sebagai bertindak melepaskan keanggotaan daripada parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 49A(1)(a)(i) Perlembagaan Persekutuan dan juga dianggap sebagai tidak lagi menjadi anggota parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika mencadangkan usul itu pada Konvensyen Amanah Nasional 2022 di sini hari ini.


Ia adalah antara empat usul yang diterima untuk dibahas pada konvensyen kali ini, selain usul kenaikan harga barang asas, hak warganegara Malaysia mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara, serta pindaan retorik perjuangan Melayu Islam dan gagasan Melayu Islam bermaruah.


Ahmad Zamri berkata usul itu sebagai menyelaras Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, yang diluluskan Dewan Rakyat pada Julai lalu.

 

“Semasa sesi penggulungan oleh YB Menteri (Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar) pada 28/7/2022, telah memberikan penjelasan kepada soalan YB Seremban (Loke Siew Fook) bahawa jika ada mana-mana ahli parti yang juga Ahli Parlimen yang melanggar keputusan parti, ingkar arahan Whip, maka keanggotaannya sebagai Ahli Parlimen tidak akan terjejas melainkan jika ada peruntukan dalam perlembagaan parti itu yang menyatakan bahawa dia akan tergugur keahliannya jika berbuat demikian.


“Maknanya Ahli Parlimen itu boleh menyokong apa-apa usul atau tindakan sama ada di pihak Kerajaan atau di pihak Pembangkang, dan tindakannya itu tidak akan menjatuhkan keahliannya melainkan dia melompat atau menyertai parti itu.


“Oleh yang demikian, pindaan Perlembagaan Parti Amanah Negara perlu dibuat bagi memberi takrifan yang jelas kepada perkara itu dan bagi tujuan penyelarasan dengan pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Pengarah Komunikasi Amanah Abdul Khalid Samad ketika bangun menjelaskan mengenai usul itu berkata parti perlu menambah atau meminta perlembagaan sedia ada supaya jika ada Ahli Parlimen atau ADUN yang melanggar keputusan parti, mereka boleh dianggap mengeluarkan dirinya dari parti dan boleh dianggap melompat parti.


Selain itu konvensyen kali ini juga menerima 14 lagi usul tanpa dibahas termasuk usul gabungan pembangkang menghadapi PRU ke-15 dengan menyokong usaha pimpinan Amanah dan Pakatan Harapan (PH) menggabungkan pembangkang yang bersetuju dengan dasar PH dalam ‘khemah besar’.


Selain itu turut diterima usul pemakaian logo PH bagi PRU15 memandangkan logo PH tidak pernah teruji pada PRU selepas gabungan itu didaftarkan secara rasmi dan disahkan selepas PRU14.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post